Sebak dan terharu! Itulah perasaan pelakon dan penyanyi popular Ziana Zain apabila menerima kejutan semasa konsert pengenalan Mentor musim ke-4, sempena hari jadinya yang ke-42 tahun di Auditorium MBSA, Shah Alam semalam.
Penyanyi yang popular dengan lagu "Madah Berhelah" dan "Anggapanmu" itu ketika ditemui sejurus selepas program tersebut berakhir mengakui amat terkejut dengan apa yang telah dirancang oleh pengurusnya serta pihak produksi Mentor 4.
Lebih bermakna apabila anak-anaknya iaitu Aiman dan Ammar turut hadir memeriahkan lagi kejutan tersebut. Walaupun tanpa kehadiran suami di sisi serta dua orang lagi anak kembarnya kerana masih terlalu kecil, pelakon filem 'Maria Mariana' itu tetap berbesar hati dengan penghargaan yang diberikan kepadanya.

"Suami saya datang, tetapi hanya menghantar anak-anak saya. Dia hanya tunggu di dalam kereta. Selepas kejutan tersebut dia bawa semua anak-anak saya pulang ke rumah. Maklumlah esok anak-anak saya perlu bersekolah," ujar Ziana apabila ditanya perihal suaminya.
Mengakui tidak pernah membuat sambutan majlis hari jadi secara besar-besaran, dia menganggap apa yang diterimanya semasa program Mentor 4 itu sebagai sesuatu yang sangat istimewa dan pasti akan dikenang sebagai antara momen indah dalam hidupnya.
"Pagi tadi anak-anak sudah mengucapkan 'Happy Birthday' kepada saya dan memberikan kad. Itulah sebabnya saya langsung tidak menjangka kejutan yang mereka lakukan ini.
"Tambahan pula sebelum ini pihak produksi meminta saya bersedia menyanyikan lagu "Anggapanmu" dan saya buat latihan untuk itu. Tiba-tiba ketika saya mula menyanyi, saya dengar lagu yang dimainkan oleh pemuzik berbeza.
"Saya ingat saya telah melakukan kesilapan dan selepas melihat anak-anak saya dan kek hari jadi, barulah saya menyedari kejutan tersebut. Saya berasa sebak dan terharu kerana selama ini saya hanya menyambut hari jadi saya bersama anak-anak, suami dan ahli keluarga terdekat.

"Tetapi untuk hari jadi saya yang ke 42 tahun saya bukan sahaja dapat menyambutnya bersama anak-anak malah turut diraikan oleh rakan-rakan artis serta para protege. Lebih bermakna semua penonton Mentor dan para peminat saya dapat bersama-sama meraikannya," katanya yang tidak habis-habis mengucapkan syukur kepada Allah kerana memberikan kehidupan yang bahagia kepadanya selama ini.
Bercerita mengenai kehidupannya, ibu kepada empat orang cahayamata ini memberitahu dia selesa dengan kehidupan yang dilaluinya. Apatah lagi dia baru sahaja melalui saat-saat penuh bahagia dalam hidupnya.
"Saya sentiasa melatih anak-anak saya agar mengingati hari jadi ahli keluarga yang lain. Malah saya menyediakan satu kotak khas untuk menyimpan semua kad-kad istimewa yang diberikan oleh anak-anak dan suami.
"Saya tidak pernah mengharapkan sesuatu yang istimewa, kerana bagi saya sekeping kad atau ucapan selamat hari jadi daripada mereka yang istimewa sudah memadai. Hadiah tidak penting. Apa yang penting adalah ingatan tersebut," tambahnya.